KUCHING | 14 Oktober 2026 - Pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang gagal dalam subjek Bahasa Melayu (BM) masih layak untuk memasuki universiti milik Kerajaan Sarawak serta menerima pembiayaan di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), tertakluk kepada syarat-syarat kemasukan yang lain.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee menjelaskan bahawa kelulusan dalam subjek Bahasa Melayu bukanlah satu prasyarat wajib untuk melayakkan pelajar memasuki empat institusi pengajian tinggi milik negeri itu.
Selain itu, ketiadaan kelulusan subjek berkenaan juga tidak menghalang mereka daripada menerima manfaat skim pendidikan percuma negeri yang merangkumi 64 kursus pengajian terpilih.
“Persoalan ini sangat penting kerana ia membezakan dasar yang kita laksanakan di Sarawak sama ada Bahasa Melayu menjadi prasyarat penting untuk memasuki empat universiti kita atau turut menjadi kriteria penting bagi pelajar UEC untuk layak menerima pendidikan tinggi percuma,” jelas beliau.
“Yang Berhormat, jawapannya tidak. Bahasa Melayu tidak diperlukan untuk mereka layak memasuki universiti kita atau menerima pendidikan tinggi percuma,” tegasnya lagi ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Pendekatan dasar pendidikan negeri ini dilihat terus membuka ruang kesaksamaan akses pengajian tinggi kepada semua pelajar di Sarawak, selagi mereka menepati kriteria akademik utama bagi kursus yang dipohon.





