LIMBANG | 2 OKTOBER 2026 — Dunia pendidikan kini berdepan perubahan pesat apabila teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi cara manusia belajar, bekerja dan berkomunikasi.
Dalam menghadapi perubahan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, mengingatkan warga pendidikan supaya tidak hanya mengejar penguasaan ilmu dan teknologi, sebaliknya memastikan nilai murni terus menjadi asas pembentukan generasi masa hadapan.
Menurutnya, peranan guru menjadi semakin penting dalam dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah.
“Dalam dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah, peranan guru menjadi semakin penting. Kemajuan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan sedang mengubah cara kita belajar, bekerja dan berkomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Peringkat Negeri Sarawak Kali Ke-44 Tahun 2026 di Limbang, Khamis.
Awang Tengah berkata penguasaan ilmu semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai nilai seperti integriti, empati dan disiplin.
Katanya, nilai tersebut penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi turut mempunyai jati diri serta akhlak yang baik.
Sehubungan itu, beliau menggesa warga pendidik supaya terus meningkatkan keupayaan dan pengetahuan bagi memastikan mereka kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan pendidikan semasa.
“Saya berharap warga pendidikan Sarawak akan terus menjadi pendidik yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga mempunyai jiwa pendidik dan semangat untuk membentuk generasi yang berdaya tahan, berkemahiran dan berakhlak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Awang Tengah berkata aktiviti sukan dalam kalangan warga pendidikan turut mempunyai peranan lebih besar daripada sekadar pertandingan.
Menurutnya, penglibatan dalam sukan dapat membantu membina kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental, selain memupuk disiplin, kerja berpasukan, kepimpinan serta sikap menghormati pihak lawan.
Nilai seperti tidak mudah berputus asa juga, katanya, penting dalam membentuk warga pendidikan yang lebih seimbang dari aspek fizikal, mental dan sahsiah.
Turut hadir isteri Timbalan Premier Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud; Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah; ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli; serta Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Siti Mariam Salleh.





