KOTA SAMARAHAN, 17 Oktober 2026 — Seramai lapan usahawan menerima geran dan kemudahan pembiayaan perniagaan berjumlah RM2.06 juta menerusi Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 Samarahan bagi memperkukuh daya saing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

IMG_7236

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang bersama Ahli Majlis MARA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA, Ajar @ Siti Ajar Yasin; Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Ts. Hamdi Ibrahim; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sarawak, Mohamad Faizal Lamat; Pengarah MARA Negeri Sarawak, Timelow Jauk; wakil Residen Bahagian Samarahan, Jerina Gapor; serta Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak - Foto: UKAS

Daripada jumlah keseluruhan itu, RM37,000 disalurkan dalam bentuk geran keusahawanan kepada tiga penerima, manakala RM2.022 juta lagi diperuntukkan sebagai pembiayaan perniagaan kepada lima usahawan menerusi pelbagai skim Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperluas akses pembiayaan, meningkatkan keupayaan perniagaan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan Bumiputera, khususnya golongan wanita.

“Program ini bertujuan menyediakan platform kepada usahawan wanita dan komuniti untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang perniagaan, inisiatif dan bantuan kerajaan, program latihan, pembiayaan serta geran keusahawanan bagi menyokong pembangunan perniagaan yang berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Sabtu.

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta yang berpeluang mendapatkan pendedahan mengenai keusahawanan, latihan kemahiran, pembiayaan serta jaringan perniagaan.

Tiga penerima terima geran RM37,000

Bagi komponen geran keusahawanan, Asajaya Cafeteria menerima RM8,000 menerusi program BEST bagi tujuan pensijilan halal.

Dua lagi penerima, Syarikat Pawida dan Isma Tradisional Enterprise, masing-masing menerima RM14,500 bagi keperluan pembungkusan dan pelabelan halal.

Keseluruhan geran berjumlah RM37,000 itu menyokong keperluan perniagaan penerima, khususnya dalam aspek pematuhan pensijilan serta penambahbaikan pembungkusan dan pelabelan produk.

Lima usahawan terima pembiayaan RM2.022 juta

Sementara itu, pembiayaan perniagaan berjumlah RM2.022 juta disalurkan menerusi tiga skim, iaitu SPiKE, DanaNita dan PUTRA.

Ibrahim Syam Abu Bakar daripada Ibrah Eng Enterprise menerima pembiayaan terbesar, berjumlah RM1 juta.

Beliau diikuti Felleny Camelly Kinson daripada Twosiblings Construction yang menerima RM656,000, serta Bryan Carl Patrict bersama Patrict Miden daripada BC Construction dengan pembiayaan RM340,000.

Dua lagi penerima ialah Donna Ida Edgar daripada G.B.M Spa Company yang menerima RM18,000 menerusi DanaNita, manakala Muhammad Syamil Jemat daripada Melna Enterprise menerima RM8,000 menerusi PUTRA.

Bantuan persekolahan turut memanfaatkan 75 pelajar

Dalam perkembangan berkaitan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM7,500 kepada 75 pelajar di dua sekolah sekitar Samarahan.

Daripada jumlah itu, seramai 50 pelajar SMK Kota Samarahan menerima bantuan keseluruhan RM5,000, manakala 25 pelajar SMK Hajjah Laila Taib menerima RM2,500.

Usahawan perlu terus berkembang dan berdaya saing

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, pembangunan keusahawanan bukan sahaja berupaya meningkatkan pendapatan keluarga, malah turut berperanan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi komuniti.

“Kita mahu melahirkan usahawan yang bukan sahaja mampu memulakan perniagaan, tetapi juga mampu bertahan, berkembang dan mewujudkan peluang kepada orang lain,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan latihan berterusan, bimbingan perniagaan, penggunaan teknologi moden dan pemasaran digital bagi membantu usahawan memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing.

Program berkenaan turut menampilkan sesi perkongsian ilmu oleh MARA, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Bank Muamalat dan Pejabat Daerah Samarahan.

Selain pameran agensi, program itu turut menyediakan khidmat masyarakat menerusi servis menukar minyak hitam motosikal oleh GIATMARA Kota Samarahan.

Turut hadir ialah Ahli Majlis MARA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA, Ajar @ Siti Ajar Yasin; Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Ts. Hamdi Ibrahim; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sarawak, Mohamad Faizal Lamat; Pengarah MARA Negeri Sarawak, Timelow Jauk; wakil Residen Bahagian Samarahan, Jerina Gapor; serta Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.