KUALA LUMPUR | 29 SEPTEMBER 2026 - Kerajaan Sarawak mengemukakan beberapa cadangan berkaitan pelaburan dan pembangunan industri untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Persekutuan 2027, termasuk insentif pelaburan, industri strategik dan infrastruktur perindustrian.

Perkara itu dibincangkan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di Kuala Lumpur.

Perbincangan turut menyentuh usaha menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi, meningkatkan daya saing industri serta memperkukuh pembangunan ekonomi jangka panjang Sarawak.

Antara sektor yang diberi perhatian ialah pembuatan termaju, semikonduktor, ekonomi digital, tenaga bersih serta aktiviti hiliran dan berteraskan teknologi.

Keperluan menyediakan insentif, infrastruktur, bakat dan ekosistem pelaburan yang sesuai turut dibincangkan bagi menyokong pelaburan baharu serta pengembangan industri sedia ada.

Usaha itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan agenda pelaburan serta perindustrian Malaysia, termasuk mewujudkan pekerjaan berkualiti, membangunkan bakat tempatan dan memperkukuh perniagaan tempatan.