LIMBANG | 29 SEPTEMBER 2026 - Pesta Hari Bukit Mas 2026 menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya dari 7 hingga 11 Oktober di Panggung Tebingan Sungai Limbang atau Waterfront Limbang.


Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Kr. Sufian Mohat berkata, pelbagai pengisian disediakan termasuk jualan, persembahan pentas, pertandingan dan program komuniti bagi mempromosikan produk pelancongan tempatan serta merancakkan ekonomi setempat.


Antara pengisian utama ialah Forum Perdana pada 8 Oktober, pertandingan Mr. Wonderful dan Bodybuilder pada 9 Oktober serta majlis perasmian yang dijangka disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Malam Kebudayaan pula menampilkan persembahan pelbagai etnik termasuk Iban, Bisaya, Melayu, Kedayan dan Cina, selain pertandingan akhir Piala Walikota serta persembahan artis jemputan termasuk Shidi Data, Haqiem Rusli dan kumpulan Kristal.

Turut diadakan International Fun Run Bukit Mas yang menerima lebih 500 penyertaan dari dalam dan luar Sarawak termasuk Brunei, Sabah dan Labuan.

Program lain merangkumi pertandingan memancing antarabangsa, Perahu Berhias, Tarik Tali, Mewarna dan Masakan.

Menurut Sufian, persiapan kini mencapai kira-kira 75 peratus, dengan mesyuarat akhir bersama agensi berkaitan dijadualkan pada 1 Oktober ini.

Beliau turut menggalakkan orang ramai hadir dan bersama-sama mempromosikan Pesta Hari Bukit Mas 2026 sebagai antara platform memperkenalkan Limbang kepada pengunjung tempatan dan luar Sarawak.

Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Kr. Adison Langgar Injan serta Ahli-ahli Majlis Daerah Limbang.