KABONG, 26 September 2026 — Bermula secara kecil-kecilan sejak 2012, Nekma’ Kitchen terus berkembang sebagai antara perniagaan makanan tempatan di Kabong, dengan menu oden antara hidangan yang menjadi tarikan pelanggan.
Nekma’ Kitchen menawarkan 13 jenis pilihan oden, termasuk isi ketam, bebola, ayam, bakso, brokoli dan tomato, yang disediakan dengan pilihan kuah seperti tomyam serta perisa pedas, manis dan masam.
Selain oden, Nekma’ Kitchen turut menyediakan pelbagai pilihan makanan dan kudapan lain.
Antara menu yang ditawarkan ialah Ayam Goreng Seringgit, Ayam Korea, Ayam Korea Mix/Cheese, Sayap Ayam, Kulit Ayam, Popia Sardin, Popia Carbonara, Popia Crab Cheese, Popia Ayam Cheese, Popia Sayur, Wantan Sambal Ngesit, Wantan Cheese, Cucur Pisang, Cucur Payak, Cucur Keribang serta Nasi Campur.
Berkongsi mengenai perjalanan perniagaannya, pengusaha Nekma’ Kitchen berkata perniagaan itu melalui pelbagai fasa termasuk ketika pandemik COVID-19.
“Saya mula berniaga sejak tahun 2012 dan perniagaan ini melalui pelbagai fasa. Ketika pandemik COVID-19, saya teruskan jualan dari rumah dengan menggunakan kaedah COD selama kira-kira dua tahun,” kata beliau kepada wartawan.
Kini, Nekma’ Kitchen beroperasi mengikut lokasi dan hari.
Pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, perniagaan berkenaan beroperasi di Pantai Tanjung Kembang, dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
Manakala Isnin hingga Jumaat, Nekma’ Kitchen beroperasi di Pusat Penjaja Kabong, yang dikenali sebagai ‘Stall Oren’, dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Menurut beliau, sokongan serta bantuan yang diterima turut membantu dalam perkembangan perniagaan.
“Saya juga bersyukur kerana pernah menerima bantuan daripada Wellbest, termasuk mengikuti kursus dan mendapat bantuan dari segi peralatan. Bantuan seperti ini sangat membantu saya untuk meneruskan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Pengusaha berkenaan turut berkongsi nasihat kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang keusahawanan supaya berusaha menggunakan kemampuan sendiri serta membuat perancangan kewangan dengan baik.
“Nasihat saya kepada usahawan muda, cuba berusaha dengan kemampuan sendiri dan jangan mudah mengambil pinjaman yang tidak berlesen atau terjebak dengan ahlong. Kita kena mula sedikit demi sedikit, yang penting terus berusaha dan jangan mudah berputus asa,” kata beliau kepada wartawan.
Perjalanan Nekma’ Kitchen daripada jualan dari rumah ketika pandemik sehingga mempunyai lokasi perniagaan di Kabong mencerminkan usaha berterusan usahawan tempatan dalam membina perniagaan secara berperingkat.
Kehadiran perniagaan makanan seperti Nekma’ Kitchen juga memberi pilihan kepada komuniti setempat selain menyumbang kepada perkembangan aktiviti ekonomi kecil di kawasan Kabong.





