KUALA LUMPUR | 29 SEPTEMBER 2026 - Malaysia berhasrat memperkukuh pasaran pelancongan di Rusia, khususnya Wilayah Ural, menerusi promosi destinasi yang lebih giat, kerjasama antara agensi pelancongan serta peningkatan hubungan penerbangan antara kedua-dua negara. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata Rusia kekal sebagai pasaran penting bagi Malaysia, dengan negara itu merekodkan 98,466 ketibaan pelancong Rusia dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Menurut beliau, lebih banyak pakej pelancongan perlu dibangunkan mengikut keperluan pelancong Rusia, selain membawa lebih ramai ejen pelancongan dari negara berkenaan ke Malaysia bagi membolehkan mereka mengenali sendiri produk serta destinasi pelancongan di setiap negeri.

Tiong berkata pengiklanan semata-mata tidak mencukupi dan penggiat industri pelancongan Rusia perlu diberi peluang merasai sendiri pengalaman pelancongan di Malaysia supaya pakej yang ditawarkan dapat disesuaikan dengan kehendak pelanggan.

Beliau berkata demikian susulan pertemuan bersama Presiden Ural Tourism Association, Mikhail Maltsev, di Rusia yang turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama industri, pemasaran destinasi dan hubungan penerbangan. 

Sementara itu, Maltsev berkata Wilayah Ural mempunyai potensi besar sebagai pasaran pelancongan kerana kira-kira 15 peratus pelancong Rusia yang melancong ke luar negara berasal dari wilayah tersebut.

Ural Tourism Association menghimpunkan agensi pelancongan, syarikat penerbangan, organisasi media dan institusi pendidikan, sekali gus menyediakan platform untuk Malaysia memperluas capaian kepada pasaran pelancongan di Wilayah Ural. 

Tiong turut berkata Rusia merekodkan lebih 31.5 juta perjalanan ke luar negara pada 2025, termasuk 20.14 juta perjalanan bagi tujuan rekreasi, manakala Malaysia menerima 139,733 pelancong Rusia pada tahun sama. 

Usaha tersebut merupakan antara langkah Malaysia untuk memperluas pasaran antarabangsa dan menarik lebih ramai pelancong Rusia meneroka pelbagai destinasi serta produk pelancongan di seluruh negara.