PUTRAJAYA | 30 SEPTEMBER 2026 — Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 15 sen bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga RON97 ditetapkan pada RM5.00 seliter, berbanding RM5.05 sebelum ini.
Harga RON95 tanpa subsidi pula turun kepada RM4.52 seliter daripada RM4.57, manakala diesel tanpa subsidi turun kepada RM5.27 seliter berbanding RM5.42 sebelum ini.
Menurut MOF, penurunan itu didorong penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan APM, susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.
Dalam pada itu, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan, dengan eksport produk petroleum bertapis China pada September dijangka melebihi empat juta tan, berbanding purata sekitar tiga juta tan sebulan pada tahun sebelumnya.
Peningkatan bekalan itu membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau.
Bagaimanapun, pemulihan bekalan global masih tidak sekata. MOF turut mengambil kira gangguan operasi sebuah loji penapisan utama Rusia di Perm berikutan serangan dron serta keadaan geopolitik yang masih boleh memberi tekanan kepada harga minyak dan produk petroleum.
Kerajaan MADANI pada masa sama mengekalkan perlindungan bersasar melalui subsidi kepada pengguna yang layak.
Bagi BUDI MADANI RON95 (BUDI95), penerima yang layak terus membayar RM1.99 seliter, berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.52 seliter.
Bagi BUDI Diesel, penerima yang layak membayar RM2.10 seliter, berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter.
Harga subsidi lain yang dikekalkan ialah SKPS RM2.05 seliter dan SKDS RM2.15 seliter.
Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, harga diesel bersubsidi kekal pada RM2.15 seliter, selaras dengan struktur subsidi yang ditetapkan kerajaan.
MOF turut menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap bagi membantu menjamin bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.





