KLUANG | 28 SEPTEMBER 2026 - Kerajaan mengambil kira keseimbangan antara kebajikan pekerja dengan kelangsungan majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), berhubung cadangan pelarasan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaan sebarang pelarasan perlu mengambil kira kemampuan pelbagai segmen majikan supaya kebajikan pekerja dapat dipertingkat tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Menurut beliau, cadangan berkenaan masih belum menjadi keputusan muktamad dan perkembangan lanjut wajar ditunggu menerusi pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Taman Perumahan Polis Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini.
Cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebelum ini dibangkitkan sebagai langkah meningkatkan pendapatan pekerja bergaji rendah.
Pada masa sama, kesan terhadap kos operasi majikan serta harga barangan dan perkhidmatan turut menjadi antara perkara yang perlu dipertimbangkan.
Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan yang dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Ogos 2025 kepada semua majikan di seluruh negara.





