BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPTEMBER 2026 — Kementerian Pembangunan Negara Brunei Darussalam (MOD) mengadakan Bengkel Transformasi Digital MOD selama dua hari di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, bagi memperkukuh hala tuju transformasi digital kementerian bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Bengkel tersebut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Dr. Chin Wei Keh.

Fokus utama bengkel meliputi keutamaan perkhidmatan, keperluan data, interoperabiliti sistem serta inisiatif digital yang dapat menyokong penyampaian perkhidmatan lebih bersepadu, cekap dan berorientasikan pengguna.

Pada hari pertama, bengkel melibatkan ketua-ketua jabatan, ketua-ketua divisyen serta pegawai kanan Kementerian Pembangunan.

Perbincangan memberi tumpuan kepada penyelarasan hala tuju strategik, hasil yang ingin dicapai serta pengenalpastian inisiatif digital berkeutamaan yang berpotensi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kementerian.

Bengkel diteruskan pada hari kedua dengan penglibatan pihak berkepentingan luar, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, wakil Persatuan Ukur Jurutera dan Arkitek (PUJA), serta syarikat yang berurusan secara langsung dengan Kementerian Pembangunan.

Penglibatan pihak berkepentingan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada perspektif pengguna serta industri, khususnya berkaitan pengalaman berurusan dengan perkhidmatan kementerian, peluang penambahbaikan proses dan keperluan integrasi antara agensi dengan pihak industri.

Antara pengisian bengkel termasuk pembentangan hala tuju transformasi digital MOD, perbincangan kumpulan mengenai hasil strategik dan inisiatif digital yang perlu diberi keutamaan, pembentangan hasil perbincangan serta sesi soal jawab.

Kementerian Pembangunan menyatakan maklum balas, pandangan dan cadangan yang diperoleh sepanjang bengkel akan menjadi antara asas dalam memperkukuh perancangan serta pelaksanaan transformasi digital kementerian bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Usaha itu turut disasarkan ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah, lancar dan bersepadu, penggunaan data yang lebih dipercayai serta hasil pembangunan yang lebih baik.

Bengkel berkenaan turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara kementerian, jabatan berkaitan, agensi teknikal, pihak industri dan pengguna bagi membentuk ekosistem perkhidmatan pembangunan yang lebih saling berhubung serta responsif terhadap keperluan semasa.