KUALA LUMPUR, 11 Nov — Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan beliau kekal berkhidmat di peringkat persekutuan dan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan depan.

IMG_1780

Menteri Kerja Raya merangkap Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan beliau tidak akan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan depan susulan kerusi baharu DUN Melekun yang belum diwartakan di Dewan Rakyat - Kredit Foto: BERNAMA

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Menteri Kerja Raya itu menjelaskan bahawa spekulasi berhubung hasratnya bertanding di peringkat negeri sebelum ini timbul susulan cadangan pewujudan kerusi baharu, iaitu DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan persempadanan semula yang melibatkan kerusi berkenaan tidak sempat diguna pakai pada pilihan raya kali ini kerana belum dibentangkan serta diwartakan di peringkat Parlimen.

“Walaupun DUN Sarawak sudah meluluskan tambahan kerusi, ia belum dibawa ke Dewan Rakyat untuk pengesahan. Jadi tidak sempat diguna dalam PRN ini, maka saya tidak ada tempatlah (di DUN),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri rakaman program terbitan Bernama TV di Wisma Bernama hari ini.

Pada 7 Julai 2025, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan pertambahan 17 kerusi baharu, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi daripada 82 kepada 99 kerusi.

Nanta yang memegang mandat sebagai Ahli Parlimen Kapit selama enam penggal menyatakan ketiadaan peluang bertanding di peringkat DUN bukan satu kekangan, sebaliknya keutamaannya kini adalah menumpukan khidmat terbaik menerusi kapasiti sedia ada.

Terdahulu, beliau pernah menyatakan keterbukaan untuk memberi laluan kepada peralihan kepimpinan Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya berpeluang beralih khidmat ke peringkat negeri menerusi DUN Melekun.

Ketika diajukan mengenai laporan bahawa GPS bakal mempertaruhkan kira-kira 10 peratus calon muka baharu pada PRN kali ini, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan keputusan muktamad kepada pucuk pimpinan gabungan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal, dan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak.