SABAH | KOTA KINABALU | 25 NOVEMBER 2026 - Tiga daripada empat remaja perempuan yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di sekitar daerah ini berjaya ditemui dalam keadaan selamat, sekali gus menyaksikan kes membabitkan mereka diselesaikan.

IMG_3342


Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tiga remaja yang telah berjaya dikesan ialah Lorna binti Palmani, 17; Nadyana binti Albaser, 16; serta Farha Nabila binti Abdullah, 14.

Bagaimanapun, seorang lagi remaja perempuan, Olivia Jeffrey, 16, masih belum ditemui dan operasi mengesannya sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Olivia supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian terus IPD Kota Kinabalu di 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, IPD Kota Kinabalu turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas keprihatinan serta perkongsian maklumat yang membantu menjejaki remaja-remaja terbabit.